Sayang Fattah Amin dan Fazura, Fattah Amin, Fazura

Awas!! 'Bahayanya Wanita'




KUALA LUMPUR: Teater Bahayanya Wanita yang pernah dipentaskan di Istana Budaya (IB) hujung tahun lalu akan dipentaskan semula bermula 20 hingga 24 Ogos ini. Ia kembali atas sambutan baik yang diraih teater arahan sutradara Erma Fatima sebelum ini. Malah 16 Ogos lalu teater ini turut dipentaskan di Singapura.

Menurut Umie Aida, ia juga datang dari cadangan pihak IB yang mahu mengembalikan kehangatan momentum teater berkenaan di pentas berprestij itu. Bagaimanapun pementasan akan berehat sehari pada Jumaat ini bagi menghormati rakyat Malaysia yang akan berkabung menyambut kepulangan 22 jenazah mangsa pesawat Penerbangan Malaysia (MAS), MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai lalu.

"Beberapa pelakon asal termasuk saya, Erra Fazira, Nora Danish, Zizan Razak, Ziela Jalil dan Erma Fatima dikekalkan. Malah untuk pementasan kali ini Raja Ema turut ditampilkan sebagai emak Nora Danish. Neelofa dan wartawan Rudy Imran pun ada berlakon. Jadi secara tak langsung plot berubah sedikit sekali gus menambah kekecohan pementasan teater ini. Kelainan yang lain kenalah datang tengok sendiri.

"Ini juga kerja lakonan saya yang sulung selepas mengenakan tudung Ramadan lalu. Kalau dulu watak saya memakai rambut palsu yang keterlaluan gayanya tapi kini sejak bertudung, saya ditampilkan dengan gaya turban yang keterlaluan pula," katanya ketika dihubungi BH Online sebentar tadi.

Menurut Umie, Bahayanya Wanita mengisahkan mengenai kehidupan lelaki yang berpoligami dan bagaimana nasib wanita yang melaluinya. Topiknya berat dan serius, tetapi ia akan disampaikan dengan cara yang santai dan ringkas termasuk menerapkan elemen komedi.

Tiket dijual dengan harga RM53, RM73, RM103, RM153, RM203, RM253 dan RM303. Layari laman web www.ticket2u.biz atau www.istanabudaya.gov.my untuk pertanyaan lanjut. Atau hubungi AirAsiaRedtix Ticketing Hotline di 03- 8775 4666.

Dalam sisi lain, rumah tangga Umie dengan Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan yang pernah dikatakan bergoncang sebelum ini kembali sedia kala. Pasangan ini dilihat terus berjaya melayari bahtera perkahwinan yang dibina empat tahun lalu.

"Alhamdulillah, kami masih bahagia," katanya ringkas.

Oleh Zaidi Mohamad



@



Awas!! 'Bahayanya Wanita'